Selasa, 21 April 2020 | 10:39pm
Mayat pekebun berusia 77 tahun yang ditemui orang awam selepas motosikalnya dipercayai tergelincir ketika hendak mengutip durian di kebunnya di Sungai Ara, dekat sini. FOTO/ IHSAN POLIS
Mayat pekebun berusia 77 tahun yang ditemui orang awam selepas motosikalnya dipercayai tergelincir ketika hendak mengutip durian di kebunnya di Sungai Ara, dekat sini. FOTO/ IHSAN POLIS

Maut kutip durian

BALIK PULAU: Pekebun berusia 77 tahun maut selepas motosikalnya dipercayai tergelincir ketika mengutip durian di kebunnya di Sungai Ara, dekat sini.

Mayat lelaki berkenaan ditemui berhampiran motosikalnya oleh orang awam yang melalui tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan, A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat warga emas itu pada jam 5 petang tadi.

Beliau berkata, anak mangsa mendakwa bapanya keluar dari rumah mereka di Kampung Batak, Relau, dekat sini, pada jam 2 petang sebelum ke kebunnya bagi mengutip durian.

“Ketika menunggang motosikal, mangsa dipercayai tergelincir ketika melalui permukaan jalan yang licin di kebun berkenaan.

“Mangsa mengalami luka di kepala manakala motosikalnya mengalami kerosakan di beberapa bahagian,” katanya kepada media, hari ini.

Mangsa yang ditemui orang awam kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi tujuan bedah siasat.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan di kebun terbabit dalam keadaan basah dan berlumpur serta hanya boleh dilalui sebuah motosikal sahaja.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi.

Berita Harian X