Khamis, 9 April 2020 | 12:59pm
Dua daripada tiga warga asing yang dijatuhkan hukuman susulan melanggar PKP. FOTO/NSTP
Dua daripada tiga warga asing yang dijatuhkan hukuman susulan melanggar PKP. FOTO/NSTP

PKP: 3 warga asing dijatuhkan hukuman

JELEBU: Dua lelaki warganegara India dan seorang Pakistan dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Jelebu selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman tujuh hari penjara dari tarikh ditangkap iaitu 30 Mac lalu dan denda RM800 kepada V Paramasivam, 28 dan E Sabaridhasan, 21 yang bekerja sebagai tukang gunting rambut selepas kedua tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua mereka ditangkap pada jam 10.10 malam, 30 Mac lalu di Jalan Besar Simpang Pertang ke Kuala Klawang dan didapati bergerak dari satu tempat lain ke tempat lain iaitu dari pekan baru ke pekan Simpang Pertang.

Berikutan itu kedua mereka dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 ( PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rahimah turut menjatuhkan hukuman dua hari penjara dari tarikh tangkap (semalam ) dan denda RM800 ke atas Abdul Wase, 30, warganegara Pakistan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu selepas didapati bergerak dari Kajang ke Kuala Klawang.

Berikutan itu dia dituduh mengikut Peraturan 11(1)Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)( no 2)2020.

Selain itu, kesemua tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.

Di mahkamah sama, seorang mekanik turut dijatuhkan hukuman penjara selama empat hari dari tarikh tangkap pada 5 April lalu dan denda RM500 kerana melanggar PKP.

B Perumal yang beralamat dari Pulau Carey, Selangor dijatuhi hukuman selepas mengaku salah sebaik pertuduhan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)( no 2)2020 dibaca jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X