Ahad, 5 April 2020 | 1:26pm
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

5 ditahan cuba bunuh, halang tugas penjawat awam direman

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditahan atas kesalahan cubaan bunuh dan menghalang tugas penjawat awam di Jalan Batu Arang-Rawang, dekat Country Homes ke Kundang kelmarin, direman tujuh hari, bermula semalam.

Kelulusan reman ke atas semua suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, dengan semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, seorang anggota polis cedera ringan pada lengan selepas dirempuh sebuah Perodua Alza dinaiki tiga lelaki yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Terdahulu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sedang menjalankan tugas pemantauan di lokasi berkenaan.

Mereka dikatakan ternampak empat lelaki mengalihkan konkrit digunakan dalam sekatan jalan raya di lokasi berkenaan, yang kemudian melarikan diri apabila ditegur polis.

Seorang suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Honda City, manakala tiga lagi rakannya menaiki Perodua Alza yang mengundur laju dan merempuh seorang anggota polis trafik bersama motosikal polis di kawasan berdekatan.

Arifai berkata, selain empat suspek yang menaiki dua kenderaan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki lain enggan memberikan kerjasama kepada anggota bertugas.

“Lelaki itu berada di kawasan sekatan dilihat memegang telefon bimbitnya dipercayai cuba merakam insiden berkenaan dari dalam kenderaan dipandunya.

“Dia enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif terhadap polis, sebelum ditahan. Polis menyita dua kenderaan dan satu telefon bimbit milik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 186 akta sama, selain Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan 2) 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X