Isnin, 30 March 2020 | 12:36pm

Wang RM200,000 hilang dari peti besi rumah bekas menteri

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri terpaksa berputih mata, apabila wang tunai lebih RM200,000 yang disimpan dalam peti besi simpanan di kediamannya dekat Petaling Jaya di sini, disedari hilang kelmarin.

Sumber berkata, kehilangan wang itu disedari oleh Ahli Parlimen terbabit kira-kira jam 7 malam ketika memeriksa peti besi simpanan berkenaan.

Difahamkan, peti besi simpanan yang terletak dalam bilik mangsa di tingkat atas banglo dua tingkat itu, tiada sebarang kes dipecah masuk.

“Mangsa kali terakhir memeriksa wang dalam peti besi simpanan berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan mangsa juga kerap meninggalkan kediamannya atas urusan kerja.

“Mangsa juga memaklumkan wang berkenaan adalah wang milik parti politik,” kata sumber.

Susulan kejadian itu, siasatan polis membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumah di kediaman mangsa, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan dan buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Berita Harian X