Isnin, 30 March 2020 | 9:52am
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menemu bual dan memberi nasihat kepada pemandu dan penumpang ketika melakukan sekatan jalan raya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, semalam. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menemu bual dan memberi nasihat kepada pemandu dan penumpang ketika melakukan sekatan jalan raya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, semalam. - Foto BERNAMA

"Nak pergi rumah kawan bagi resepi"

PUTRAJAYA: Lima individu ditahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi dua tangkapan di pusat pentadbiran persekutuan di sini, semalam.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 34 tahun dan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata kes pertama membabitkan dua lelaki dikesan melakukan kesalahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lebuh Sentosa, Presint 7 pada jam 2.50 petang.

Rosly berkata, dua lelaki berkenaan memberikan alasan tidak munasabah, mahu pergi ke rumah rakan untuk memberikan resipi masakan ketika ditahan.

Tangkapan kedua pula membabitkan tiga pelajar antarabangsa universiti swasta masing-masing wanita warga Djibouti dan dua lelaki asal Kenya dan Sudan dalam SJR di Presint 14 pada jam 5.50 petang.

Katanya, ketika soal siasat ketiga-tiga pelajar itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang asal sebaliknya hanya mampu menunjukkan salinan.

“Pelajar berkenaan memberikan alasan tidak munasabah kerana mahu ke rumah rakan untuk mengambil wang dan selepas diarahkan berpatah balik mereka memberi pelbagai alasan sebelum ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.”

“Tiga pelajar itu ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan melanggar perintah PKP,” katanya.

Melanggar PKP adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X