Khamis, 26 March 2020 | 4:51pm
 Gambar Hiasan.
Gambar Hiasan.

Nafi jual topeng muka melebihi harga siling

SHAH ALAM: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menafikan dakwaan bahawa syarikat itu menjual topeng muka melebihi harga siling seperti yang ditetapkan oleh kerajaan selain tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pharmaniaga menerusi satu kenyataan memaklumkan dakwaan berkenaan adalah dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan orang awam dengan menggunakan nama syarikat itu.

“Pharmaniaga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab memperdayakan orang awam dengan menggunakan nama syarikat.

“Pharmaniaga tidak pernah melantik sesiapa menjadi ejen menjual topeng muka kepada orang awam kecuali menerusi penjualan dalam talian di laman sesawang www.royalepharma.com serta penjualan di rangkaian farmasi dan alliance RoyalePharma.

“Justeru dakwaan Pharmaniaga menjual topeng muka melebihi pada harga siling adalah tidak benar,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, kesemua jualan topeng muka oleh Pharmaniaga adalah mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Pharmaniaga amat kesal dengan perbuatan penipuan pihak berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas.

“Sebarang maklumat berhubung perkara ini, boleh hubungi Talian Khidmat Pelanggan Pharmaniaga 1-800-888-313 atau e-mail ke comms@pharmaniaga.com,” katanya.

Sebelum ini, harga siling topeng muka dinaikkan kepada RM2 sekeping daripada harga 80 sen.

Bagaimanapun, kerajaan pada Ahad lalu memutuskan akan menurunkan paras harga siling topeng muka selepas mendapati RM2 adalah terlalu mahal.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X