Isnin, 23 March 2020 | 10:08am

COVID-19: Mekanik mabuk, halang tugas penjawat awam

SUNGAI SIPUT: Seorang mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput di sini, hari ini atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19.

S Punniamurthy, 33, didakwa dengan sengaja menghalang Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput (Utara) berpangkat berpangkat Deputi Superintendan yang sedang melakukan pemantauan Ops COVID-19 berhadapan sebuah rumah di Taman Orkid, di sini, kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu.

Tertuduh yang didakwa mabuk ketika itu berada di tepi jalan berhadapan perkarangan rumah berkenaan dan enggan menunjukkan pengenalan diri sebaik diminta berbuat demikian.

Tertuduh juga didakwa bertindak menolak pegawai polis terbabit lalu meluru masuk ke perkarangan rumah sambil disaksikan beberapa anggota polis lain dan tertuduh ditahan sejurus itu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd Zaini bagaimanapun memohon hukuman dikurangkan memandangkan tertuduh menyara ibunya dengan pendapatan RM1,500 sebulan, selain tidak pernah didakwa atas sebarang tuduhan mahkamah sebelum ini.

Selain itu, Nurul Hanis juga meminta pertimbangan hukuman diringankan atas alasan tertuduh mengalami masalah sakit dada di samping menyesal dan insaf dengan kesalahannya.

Norhabsarina kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM5,000 atau penjara 10 bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

S Punniamurthy mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
S Punniamurthy mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X