Ahad, 22 March 2020 | 11:42pm
BOMBA sedang menjalankan operasi mencari dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Jerai di sini. NSTP/NOR FARHANI CHE AD
BOMBA sedang menjalankan operasi mencari dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Jerai di sini. NSTP/NOR FARHANI CHE AD

Dua mangsa tertimbus usahakan tanaman kelapa

GURUN: Dua mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh di kaki Gunung Jerai petang tadi, dikatakan sedang mengusahakan tanaman pokok kelapa di kawasan itu.

Anak seorang mangsa, Mohamad Faizal Md Noor, 44, berkata dia difahamkan bapanya, Md Noor Shaari, 68, sering ke kawasan itu bersama dua rakannya.

“Saya difahamkan abah sering ke situ untuk menguruskan projek tanaman pokok kelapa, namun abah tidak pernah bercerita lanjut mengenai projek itu.

“Pagi tadi saya ke rumahnya di Taman Cempaka Bukit Selambau tetapi abah tiada di rumah. Ibu kata abah pergi ke kawasan itu bersama kawannya yang dikenali sebagai Lan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Faizal berkata, ayahnya sememangnya seorang yang suka berkebun dan sering mengusahakan tanah kosong untuk tanaman sayur sayuran dan buah buahan.

Dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu adik perempuan kira-kira jam 6 petang tadi.

“Sehingga sekarang saya belum tahu keadaan abah, namun berharap operasi mencari dan menyelamat berjalan dengan lancar dan abah segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang tadi, dua mangsa dikhuatiri tertimbus pada kedalaman lebih 12 meter dalam tanah runtuh di kaki Gunung Jerai.

Berita Harian X