Sabtu, 21 March 2020 | 11:31pm
Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan Toyota Estima di Kilometer 12 Jalan Endau-Mersing, Mersing petang tadi.
Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan Toyota Estima di Kilometer 12 Jalan Endau-Mersing, Mersing petang tadi.

1 maut, Myvi bertembung Estima

MERSING: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 12 Jalan Endau-Mersing di Mersing petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, pemandu kereta Perodua Myvi, Nurul Qurratu’ Aini Abd Razak, 31, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata ketika kejadian MPV jenis Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama dua anaknya berusia sembilan dan 15 tahun dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Johor Bahru.

“MPV itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki dua penumpang bersama pemandu kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Myvi yang berasal dari Pulau Tioman, Pahang, parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan jam 3.30 petang sebelum menggerakkan sebuah jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.

Komander Operasi dari BBP Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Amir Hazmah Aris, berkata seorang mangsa tersepit di dalam kereta jenis Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia.

Berita Harian X