Isnin, 16 March 2020 | 6:53pm
Bung Moktar hadir pada perbicaraan rasuah FELCRA di Mahkamah Sesyen. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Bung Moktar hadir pada perbicaraan rasuah FELCRA di Mahkamah Sesyen. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Ketua Hakim Negara arah perbicaraan diteruskan

KUALA LUMPUR: Semua perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini, akan diteruskan seperti dijadual walaupun situasi semasa negara yang kini berdepan penularan COVID-19.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, berkata arahan itu dikeluarkan Ketua Hakim Negara menerusi Pejabat Ketua Pendaftar.

Beliau berkata demikian ketika perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.

“Bagaimanapun untuk kes sebutan dan sebutan baharu, tarikh akan ditetapkan selepas April.

“Sekiranya terdapat sebarang perkembangan, mahkamah akan maklumkan kepada pihak yang terbabit. Tetapi buat masa ini kes ini akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya.

Terdahulu pada prosiding itu, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Sulaiman, 73, dalam keterangannya, memberitahu Bung Moktar mengubah amaun pelaburan saham amanah di Public Mutual daripada RM50 juta kepada RM150 juta.

Saksi, Ahli Lembaga FELCRA, Dr Habibah Suleiman, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar di Mahkamah Sesyen. -Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Saksi, Ahli Lembaga FELCRA, Dr Habibah Suleiman, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar di Mahkamah Sesyen. -Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Saksi kelima pendakwaan itu, bagaimanapun, berkata pihak ALP tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan perubahan amaun itu hingga Mesyuarat Lembaga Pengarah pada April 2015.

“Saya tidak tahu amaun pelaburan yang dipohon sebanyak RM150 juta sedangkan di dalam mesyuarat ALP diluluskan adalah sebanyak RM50 juta.

“Pihak ALP ada bertanya kepada Bung Moktar berkaitan perbezaan amaun yang dilaburkan di dalam Unit Trust Public Mutual, namun beliau menjelaskan sudah berjumpa dengan Menteri Kewangan dengan membawa surat permohonan FELCRA Berhad untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Tambahnya, Bung Moktar memberitahu pihak ALP bahawa Menteri Kewangan yang mengesyorkan kepada beliau untuk melabur RM150 juta dalam Unit Trust Public Mutual Berhad.

“Saya beranggapan beliau mengubah amaun RM50 juta kepada RM150 juta selepas pengesyoran sebegitu dimaklumkan kepadanya,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor, sama ada beliau mengemukakan bantahan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah, Habibah menjawab: “Tidak.”

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X