Ahad, 15 March 2020 | 1:53pm
Suspek berbaju oren lokap dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar sebelum ini, untuk mendapatkan tempoh tahanan reman susulan kes bunuh abangnya yang disimen dalam tong air dan ditemui di tepi rumah Kampung Padang Hassan, Kepala Batas.- Foto NSTP
Suspek berbaju oren lokap dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar sebelum ini, untuk mendapatkan tempoh tahanan reman susulan kes bunuh abangnya yang disimen dalam tong air dan ditemui di tepi rumah Kampung Padang Hassan, Kepala Batas.- Foto NSTP

Suspek kes bunuh abang disambung reman

ALOR SETAR: Reman terhadap suspek kes bunuh dan simen abang sendiri di Kampung Padang Hassan, Ahad minggu lalu, disambung sehingga Ahad depan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek disambung reman hari ini sehingga 22 Mac ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai abang suspek ditemui dalam tong air biru berhampiran rumah mereka jam 7 pagi selepas polis menahan suspek berusia 25 tahun.

Suspek yang juga peniaga ayam goreng mengaku, membunuh abangnya, Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar selepas tidak sedap hati dan menceritakan kejadian itu kepada seorang lagi abangnya.

Suspek dikatakan, menggunakan penyapu manakala si mati menggunakan pisau pemotong daging ketika pergaduhan berlaku sebelum si mati meninggal dunia akibat terkena tetakan di leher.

Kejadian itu menyebabkan suspek panik dan memasukkan mayat abangnya ke dalam tong sebelum menyimen tong berkenaan.

Berita Harian X