Sabtu, 14 March 2020 | 3:26pm
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Hutan, JPSM Mohd Rahim Ramli. - NSTP/Rahmat Othman
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Hutan, JPSM Mohd Rahim Ramli. - NSTP/Rahmat Othman

Kilang haram proses gaharu diserbu

KOTA TINGGI: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menumpaskan kegiatan memproses gaharu haram yang dianggar bernilai hampir RM2 juta dalam operasi di Kampung Panti, di sini, semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Hutan, JPSM Mohd Rahim Ramli, berkata ‘Operasi Agarwood’ yang bermula jam 9 pagi hingga 8 malam itu berjaya menghentikan operasi sebuah kilang haram memproses minyak gaharu diusahakan seorang lelaki 65 tahun dan anak lelakinya berusia 23 tahun.

“Kami amat terkejut apabila mendapati premis (kilang haram) yang diserbu ini beroperasi pada skala besar, memiliki 102 dapur memproses minyak gaharu dengan kaedah makmal menyuling untuk mendapatkan estrak minyak gaharu.

“Serbuan turut dilakukan di sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan bahan mentah kayu berkenaan,” katanya kepada pemberita yang mengikuti operasi terbabit.

Mohd Rahim berkata, operasi bersepadu adalah hasil risikan pihaknya selama sebulan dan membabitkan 60 kakitangan termasuk dari Ibu Pejabat JPSM, JPSM Johor serta pihak polis.

Beliau berkata kedua beranak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala premis berkenaan akan disita bagi tujuan pemeriksaan selanjutnya.

“Semua barang bukti dibawa ke Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi manakala nilai sitaan kesemua barangan termasuk peralatan, serpihan kayu gaharu serta minyak gaharu terbabit dianggarkan berjumlah RM2 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rahim berkata pihaknya memerlukan masa untuk menggredkan kualiti minyak gaharu yang dirampas sementara kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan lain-lain pertuduhan berkaitan.

Tambahnya, kilang terbabit didirikan secara tidak sempurna malah tidak mendapat kelulusan daripada pihaknya bagi tujuan memproses bahan sumber hutan selain beroperasi lebih dari 15 tahun.

“Apa yang jelas, tangkapan dan serbuan ini berjaya menghentikan kegiatan memproses sumber kayu gaharu yang disyaki dikendalikan secara haram membabitkan sumber khazanah hutan negara dari seluruh Semenanjung.

“Suspek mengaku minyak gaharu pelbagai kategori yang diproses dipasarkan ke negara jiran Singapura dan seterusnya ke Timur Tengah,” katanya.

Menurut Mohd Rahim, pokok gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria Malaccensis dikenali dengan nama tempatan sebagai pokok gaharu, karas serta depu.

Pokok gaharu sangat bernilai tinggi yang ekstrak daripadanya digunakan untuk tujuan kosmetik dan pewang.

Pokok gaharu merupakan spesies terancam dan disenaraikan di bawah Jadual Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]– BERNAMA

Berita Harian X