Jumaat, 6 March 2020 | 11:54am
Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Permohonan LHDN kes cukai Najib didengar 17 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April depan mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap Najib Tun Razak bagi menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Bache semasa pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini, yang turut dihadiri peguam LHDN Muhammad Nabil Abdul Halim.

“Mahkamah juga menetapkan 3 April depan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Penghakiman terus adalah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Hakim Ahmad ketika membuat keputusan itu mendapati Najib selaku defendan gagal membuktikan wujud keadaan khusus atau istimewa yang membolehkan mahkamah menangguhkan prosiding berkenaan.

Pada 8 Ogos lalu, Najib, 67, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion, walaupun beliau memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, dalam afidavit sokongannya, berkata mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan, sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

– BERNAMA

Berita Harian X