X
Khamis, 5 March 2020 | 11:02am
EMPAT maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah trak tunda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Mersing - Endau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
EMPAT maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah trak tunda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Mersing - Endau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

4 maut nahas MPV, trak tunda

MERSING: Empat maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan trak tunda di Jalan Mersing-Endau, di sini, hari ini.

Dalam insiden awal pagi itu, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, yang juga pemandu MPV jenis Toyota Avanza terbabit, bersama tiga rakannya, Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22; Kamarudin Salim Mualaf, 51; dan Muhammad Shazriq Adam, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata nahas berlaku ketika MPV itu dalam perjalanan dari arah Endau menghala ke Mersing.

“Toyota Avanza itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan trak tunda terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu MPV terbabit bersama kesemua tiga penumpangnya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Mersing, untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

EMPAT maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah trak tunda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Mersing - Endau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
EMPAT maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah trak tunda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Mersing - Endau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Sementara itu, Komander Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Azhari Awi, ketika dihubungi pula berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu kira-kira jam 4.20 pagi tadi.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), masing-masing sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), dan dua kenderaan utiliti daripada BBP Mersing serta BBP Endau dengan kekuatan 22 anggota, bergegas ke lokasi kejadian.

“Empat mangsa didapati tersepit di dalam MPV jenis Toyota Avanza yang kemudian dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Mersing,” katanya.

Beliau berkata, dua mangsa berusia 34 dan 42 tahun yang menaiki trak tunda bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan serta keluar sendiri dari kenderaan itu sebelum ketibaan anggota bomba.

“Kedua-dua mereka kemudian dijemput ahli keluarga masing-masing, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.25 pagi,” katanya.

Berita Harian X