Selasa, 3 March 2020 | 9:52pm

7 warga asing ditahan jual barang tiruan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,274 unit seterika dan jam tangan berjenama tiruan dianggarkan bernilai lebih RM100,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa, Azeem Nazuri, berkata seterika berjenama Phillips dan jam tangan jenama G-Shock antara yang disita kerana disyaki tiruan dalam serbuan oleh lapan pegawai KPDNHEP selepas membuat risikan selama dua bulan.

Beliau berkata, KPDNHEP percaya seterika yang dirampas tidak memiliki ciri-ciri keselamatan, tidak mempunyai kad waranti serta tidak mempunyai persijilan seperti pengesahan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Kesemua barangan ini dipercayai dijual di Lembah Klang dengan harga RM30 hingga RM50 seunit bagi seterika dan jam tangan,” katanya dalam sidang media ‘Operasi Jeriji’ di pejabat KPDNHEP di Kompleks Sentral, di sini hari ini.

Selain itu, Azeem berkata pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk lima warga Pakistan dan Bangladesh berusia antara 21 hingga 36 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengurus dan pekerja di premis terbabit ketika serbuan kira-kira pada jam 11.30 pagi itu.

Beliau berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga wanita dan empat lelaki itu direman selama empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut Azeem, pihaknya juga sedang mengenal pasti pemilik premis berkenaan.

“Saya menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika membeli khususnya barangan elektrik supaya tidak terpedaya, dapatkan maklumat sah daripada pengedar atau membuat semakan di SIRIM.

“KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak melanggar undang-undang dan sekiranya ingkar, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.

Azeem berkata sebarang aduan atau perkongsian maklumat boleh disalurkan ke portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.

“Tahun ini, sebanyak 13 kes direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan jumlah sitaan sebanyak 11,960 unit membabitkan pelbagai jenis barang dengan nilai anggaran hampir RM2 juta,” katanya.– BERNAMA

Berita Harian X