Isnin, 2 March 2020 | 6:49pm
Pisau digunakan suspek dirampas polis. - Ihsan PDRM
Pisau digunakan suspek dirampas polis. - Ihsan PDRM

Pelajar tikam pengajar

LAHAD DATU: Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah cedera parah selepas ditikam di leher, bahu dan belakang oleh muridnya di sebuah rumah di Kampung Sepagaya Hulu, dekat Batu 6, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa sedang tidur apabila didatangi dua lelaki sekitar jam 1 pagi.

Menurutnya, suspek kemudiannya menikam leher, bahu dan belakang mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

“Ketika mangsa ditemui, pisau masih terpacak di belakangnya lalu dicabut oleh pelajar yang menyedari kejadian itu dan menghantarnya ke Hospital Lahad Datu.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami luka di leher, bahu dan dua luka di belakang badan namun stabil selepas dirawat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, susulan kejadian itu, polis menahan empat remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang juga pelajar madrasah berkenaan.

“Salah seorang yang ditahan mengetahui kejadian itu namun tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Pisau digunakan suspek turut dirampas untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X