Jumaat, 28 Februari 2020 | 6:41pm
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Najib gagal tangguh prosiding LHDN terhadapnya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya bagi menuntut tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa Najib tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Ahmad yang membacakan penghakimannya selama 30 minit, berkata beliau mendapati Najib gagal untuk menunjukkan kepada mahkamah terdapat keadaan istimewa bagi membolehkannya memberikan penangguhan itu.

Menurut Ahmad, alasan jumlah taksiran itu membabitkan jumlah wang yang besar, bukan satu keadaan istimewa.

Beliau berkata, hujahan Najib dalam permohonannya bahawa tuntutan RM1.69 bilion boleh menyebabkan beliau muflis dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan, adalah semata-mata kerana bimbang akan hilang kedudukan.

“Mahkamah berpendapat kebimbangan defendan (Najib) adalah bersifat spekulatif dan tanpa sebarang asas perundangan.

“Defendan boleh mencabar prosiding bankrapsi terhadapnya jika ada,” katanya.

Ahmad berkata, LHDN mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar ganti rugi kepada Najib jika bekas Perdana Menteri itu berjaya dalam rayuannya (berhubung taksiran cukai) kepada LHDN.

Hakim itu turut mengambil maklum secara umumnya undang-undang cukai di negara ini adalah ‘bayar dahulu, cakap kemudian’ yang menunjukkan cukai mesti dibayar terlebih dulu walaupun terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai.

Pada 25 Jun tahun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,692,872,924.83, faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan berkata, melalui Notis Penilaian Tambahan bertarikh 20 Mac 2019, penilaian cukai tambahan terhadap pendapatan Najib bagi tahun taksiran 2011 sehingga 2017 masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41.

Kerajaan berkata, notis itu dihantar melalui pos berdaftar kepada Najib pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dekat sini dan surat itu tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Oleh kerana Najib gagal membayar cukai dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan seperti dikehendaki di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, Kerajaan berkata jumlah itu meningkat sebanyak 10 peratus, masing-masing berjumlah RM11,617,337.41; RM32,092,993.23; RM89,157,346.54; RM11,914,465.55; RM1,687,950.00; RM64,344.52 dan RM34,647.14 bagi tahun taksiran bermula 2011 hingga 2017.

Menurut kerajaan lagi, Najib yang diberi tempoh 60 hari untuk membayar cukai itu, bersama-sama dengan kenaikan sebanyak 10 peratus, sehingga kini masih gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Najib dikenakan kenaikan lima peratus lagi daripada kenaikan 10 peratus itu, menjadikan jumlah keseluruhan cukai pendapatan yang perlu dibayar olehnya ialah berjumlah RM1,692,872,924.83.

Berita Harian X