Ahad, 23 Februari 2020 | 1:10pm

Suspek kes bakar bilal diarah jalani pemeriksaan mental

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan tertuduh bagi kes membakar seorang bilal pada Rabu lalu, menjalani pemerhatian selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Hakim Juraidah Abbas membuat keputusan itu setelah menolak pengakuan bersalah oleh tertuduh, Muhamad Ayatul Firdaus Masri, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan beliau.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Lorong Kelab, di sini, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Amri Budin, 67, di Masjid Al-Hasanah pada jam 6.10 pagi 19 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan bersalah, namun ditolak Juraidah yang mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental selama sebulan dan laporan tahap kesihatannya dilakukan pakar psikiatrik.

Media sebelum ini melaporkan, Amri disimbah minyak tanah sebelum dibakar seorang lelaki di hadapan Masjid Al-Hasanah, Taman Wira Mergong, ketika menunggu masuk waktu solat subuh.

Kejadian itu disedari jemaah masjid yang kemudian membantu memadamkan api pada tubuh mangsa sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mahkamah menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh serahan laporan tahap kesihatan tertuduh dan keputusan kes.

 Anggota polis mengiringi Muhamad Ayatul Firdaus Masri, 40, (tengah) yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Amri Budin, 67, di Masjid Al Hasanah pada jam 6.10 pagi, 19 Februari lalu. - Foto Amran Hamid
Anggota polis mengiringi Muhamad Ayatul Firdaus Masri, 40, (tengah) yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Amri Budin, 67, di Masjid Al Hasanah pada jam 6.10 pagi, 19 Februari lalu. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X