Khamis, 20 Februari 2020 | 7:08pm
Muhammed Yusoff Rawther
Muhammed Yusoff Rawther

Muhammed Yusoff sudah beri keterangan

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther, sudah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, petang tadi.

Ia bagi membantu siasatan kes Muhammed Yusoff mendakwa diserang Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di pejabat Anwar di Petaling Jaya, pada 16 Mei tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata ketika ini, pihaknya giat menjalankan siasatan kes itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya termasuk memanggil saksi lain bagi membantu siasatan.

“Ya, Muhammed Yusoff sudah dipanggil ke IPD Petaling Jaya, hari ini.

“Kita rakam percakapan bekas penyelidik PKR berkenaan bagi membantu siasatan kes berbangkit sebelum mengambil langkah susulan,” katanya pada BH, hari ini.

Hari ini, sebuah portal dalam talian melaporkan polis memanggil Muhammed Yusoff susulan arahan Jabatan Peguam Negara supaya membuka semula kertas siasatan kes berkenaan.

Sumber portal itu memaklumkan, wujud kebimbangan bahawa tokoh politik tertentu mempengaruhi siasatan kes sebelum ini.

Akhir bulan lalu, Muhammed Yusoff dipetik berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes itu bahawa Timbalan Pendakwa Raya tidak mempunyai bukti kukuh bagi meneruskan siasatan kes itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X