Khamis, 20 Februari 2020 | 3:10pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta di Jalan Nyelong. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta di Jalan Nyelong. - Foto ihsan bomba

Lelaki bakar kereta

SARIKEI: Seorang lelaki Indonesia dipercayai mengalami masalah mental bertindak di luar kawalan apabila tiba-tiba membakar kereta yang dinaikinya bersama rakan berhampiran Jambatan Nyelong, di sini, hari ini.

Kejadian mencemaskan yang berlaku kira-kira 9.20 pagi itu mengakibatkan kenderaan pelbagai guna ( MPV) Toyota Kijang yang digunakan oleh lelaki terbabit musnah.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditemani rakannya dipercayai dari Sibu dalam perjalanan untuk balik ke Indonesia.

“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian lelaki itu tiba-tiba mengambil mancis sebelum bertindak membakar kereta berkenaan.

“Lelaki itu dan rakannya yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar dari kenderaan,” katanya.

Awang Arfian berkata, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan merujuk kes terbabit kepada pihak Hospital Sarikei sebagai tindakan susulan.

“Hasil soal siasat, rakan lelaki itu ingin menghantarnya pulang Indonesia. Kedua-duanya berasal dari Sambas, Kalimantan Barat.

“Polis juga masih menunggu ahli keluarga untuk mengambil lelaki itu di Balai Polis Sarikei. Kenderaan yang dibakar oleh lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran dari Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, seramai 11 anggota dari Balai Sarikei bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada orang awam.

Katanya, ketika pasukan bomba tiba di lokasi tersebut, api didapati marak membakar di bahagian dalam kereta terbabit.

“Usaha memadam kebakaran tersebut telah berjaya dilakukan dalam tempoh 25 minit,” katanya.

From: Mohammad Roji

Berita Harian X