Khamis, 20 Februari 2020 | 11:47am

Warga Indonesia didakwa bunuh rakan sekerja

DUNGUN: Seorang warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dalam satu kejadian di Paka pada Khamis lalu.

Tertuduh, Junianto, 29, yang bekerja sebagai buruh ladang sawit, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dikemukakan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, di sebuah rumah kongsi kawasan ladang sawit Kampung Beril, Paka, jam 2.45 pagi pada 12 Februari lalu, yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum majistret menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan dia didakwa mengikut Seksyen 302 KK dan juga warga asing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, media melaporkan seorang buruh ladang sawit maut selepas ditetak, manakala isteri mangsa turut cedera dalam serangan itu ketika mereka tidur di rumah suspek.

JUNIANTO didakwa di Mahkamah Majistret Dungun, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dalam satu kejadian di Paka pada Khamis lalu. - Foto Rosli Ilham
JUNIANTO didakwa di Mahkamah Majistret Dungun, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dalam satu kejadian di Paka pada Khamis lalu. - Foto Rosli Ilham
Berita Harian X