Rabu, 19 Februari 2020 | 10:28am
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan. - Foto Mohd Roji Kawi
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan. - Foto Mohd Roji Kawi

Kes bunuh di RPR Batu Kawa selesai

KUCHING: Polis yakin kes pembunuhan seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, awal pagi kelmarin berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Ia berikutan kejayaan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menemui barang kes utama iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, selain pisau pihaknya juga berjaya menemui pakaian digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Susulan kejayaan mengesan semua barang kes itu, kami sudah mempunyai bukti yang kukuh dan kini melengkapkan kertas siasatan untuk menuduh suspek.

“Pisau dan pakaian yang digunakan dalam kejadian itu ditemui disorok di dalam rumah di Taman Everbright Batu Kawa yang menjadi tempat suspek bersembunyi selepas kejadian itu,” katanya ketika ditemui selepas perbarisan ‘Selamat Datang’ Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, Datuk Aidi Ismail, hari ini.

Suspek utama kes itu, iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan oleh anggota polis peronda dari IPD Padawan di sebuah rumah di Taman Everbright Batu Kawa, pada jam 10.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi kelmarin, mangsa berusia 37 tahun ditemui meninggal dunia di depan sebuah premis kedai kopi di RPR Batu Kawa.

Aidil berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati mangsa membawa suspek membonceng motosikalnya sebelum dia menikam mangsa di dada kiri dan rusuk sebaik sahaja mereka meninggalkan premis itu.

Selepas menikam mangsa, suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna gelap diletakkan berdekatan kedai kopi itu manakala mangsa sempat lari ke kaki lima kedai sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi, sebelum kejadian itu, suspek mengajak mangsa ke Bandar Baru Batu Kawa dengan menaiki motosikal mangsa.

“Dendam dikenal pasti motif pembunuhan itu apabila suspek dipercayai marah dengan mangsa yang didakwa pernah memecahkan keretanya,” katanya.

Berita Harian X