Selasa, 18 Februari 2020 | 8:20pm
Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi remaja yang masih hilang di Sungai Trusan. - Ihsan Bomba
Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi remaja yang masih hilang di Sungai Trusan. - Ihsan Bomba

Dua remaja lemas mandi di sungai

LAWAS: Niat murni seorang remaja berusaha menyelamatkan rakannya ketika mandi di Sungai Trusan, di sini, berakhir tragedi apabila kedua-dua mangsa ditemui lemas, hari ini.

Dalam insiden kira-kira jam 3 petang di Kampung Tengah, Trusan, Abang Bukhari Malikhan, 16, dilaporkan tiba-tiba terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong ketika mandi di sungai itu bersama-sama beberapa rakannya.

Menurut sumber, melihat keadaan berkenaan, Ahmad Shukri Rosli, 16, dikatakan cuba membantu, namun turut mengalami masalah sebaik saja menghampiri rakannya itu sebelum kedua-dua mangsa dilihat tenggelam.

Beberapa rakan lain yang menyaksikan kejadian berkenaan segera memaklumkan kepada keluarga mereka sebelum panggilan kecemasan dibuat untuk meminta bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik saja pihaknya menerima panggilan kecemasan yang dibuat terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas pada jam 3.14 petang.

Susulan itu, 10 anggota daripada BBP Lawas dikejarkan ke lokasi dan terus menjalankan pencarian di permukaan, selain menyelam ke dasar sungai.

“Pada jam 5 petang, anggota penyelam bomba berjaya menemui seorang mangsa terbabit, Ahmad Shukri, di dasar sungai itu.

“Abang Bukhari pula ditemui pada jam 6.22 petang, beberapa meter dari kedudukan mangsa pertama dijumpai, dan kedua-duanya disahkan lemas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan keterangan bapa kepada salah seorang remaja terbabit, kedua-dua mangsa tidak pandai berenang.

Operasi SAR yang turut dibantu tujuh anggota daripada Balai Polis Lawas, empat kakitangan Pejabat Daerah Lawas dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Punang Jaya itu dihentikan pada jam 6.30 petang.

Berita Harian X