Ahad, 16 Februari 2020 | 9:18pm
Seorang lelaki disyaki peragut (kanan) dibantu orang ramai selepas ditimpa kemalangan dalam tempoh beberapa saat selepas meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Jalan ST 9, Taman Bukit Permata, Selayang dekat sini, pagi tadi. - Foto dari rakam video menerusi akaun Facebook Ustaz Hanafi.

Peragut malang

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki peragut ditimpa kemalangan dalam tempoh beberapa saat selepas meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Jalan ST 9, Taman Bukit Permata, Selayang dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, suspek yang menunggang motosikal pada mulanya meragut beg tangan mangsa yang juga seorang warga Indonesia yang sedang berjalan kaki bersendirian.

Bagaimanapun, ketika cuba melarikan diri, motosikal suspek terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata akibat pelanggaran itu, suspek terjatuh dan mengalami kecederaan serius pada kaki kirinya.

“Sebaik menerima aduan kejadian itu, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bergegas ke lokasi sebelum mengiringi suspek yang dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Hasil semakan mendapati lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha Y15, sebuah beg silang serta telefon bimbit milik suspek. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tular beberapa rakaman video dan gambar berkaitan kejadian itu yang dimuat naik menerusi akaun Facebook mengguna nama Ustaz Hanafi .

Antara rakaman video itu menunjukkan orang ramai cuba menolong suspek yang terjatuh ke dalam sebuah longkang kecil.

Menerusi rakaman video itu juga, mangsa mendakwa suspek mengacu pisau sebelum meragut beg tangan dan telefon bimbit yang dibawanya.

Van ambulan, pegawai polis serta orang ramai berada di lokasi kejadian peragut yang ditimpa kemalangan. - Foto akaun Facebook Ustaz Hanafi.
Van ambulan, pegawai polis serta orang ramai berada di lokasi kejadian peragut yang ditimpa kemalangan. - Foto akaun Facebook Ustaz Hanafi.

https://www.facebook.com/ustazhanafiah/videos/vb.230740486946069/2591925...

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X