Jumaat, 14 Februari 2020 | 11:43pm
Ariffin berbual dengan Azwan (kiri) seorang daripada empat nelayan yang ditemui selepas dilaporkan hilang sebaik keluar ke laut Jumaat lalu. - NSTP/Zaid Salim
Ariffin berbual dengan Azwan (kiri) seorang daripada empat nelayan yang ditemui selepas dilaporkan hilang sebaik keluar ke laut Jumaat lalu. - NSTP/Zaid Salim

Empat nelayan hilang sejak seminggu ditemui selamat

KUALA TERENGGANU: Empat nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan pada 7 Februari lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Nelayan itu, Azwan Yusof, 36; Walik Hafizul Walek @Raffa, 35; Hanafi Nasrizal Hamtha, 26; dan Mohd Faizan Musa, 29, yang kesemuanya dari Kampung Losong di sini, ditemui oleh kapal Maritim KM Gemia di kedudukan 55 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada jam 5.15 petang tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan nelayan-nelayan berkenaan pada jam 10 malam Rabu lalu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan semalam, meliputi 63 batu nautika daripada Perairan Terengganu.

“Ketika ditemui petang tadi, kesemua mereka dalam keadaan lemah dan keletihan, yang mana kemudiannya mereka telah diberi makan dan rawatan awal sebelum bot mereka ditunda balik ke jeti Maritim Malaysia malam ini.

“Siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mengalami kerosakan bateri, menyebabkan bot itu tidak dapat dihidupkan dan dihanyutkan arus selama tujuh hari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu seorang mangsa, Azwan berkata bot yang dinaiki bersama tiga rakannya itu rosak selepas berlabuh di kedudukan 63 batu nautika dari Perairan Terengganu, pada hari pertama mereka keluar ke laut.

“Kami keluar ke laut pada jam 4 petang Jumaat (7 Februari) dan sampai di lokasi pada jam 6 pagi Sabtu (8 Februari) dan mematikan enjin buat seketika. Pada jam 7 pagi sebelum memulakan kerja kami cuba menghidupkan semula enjin namun gagal.

“Saya cuba menukar bateri enjin tetapi ia tetap gagal dihidupkan, menyebabkan kami terpaksa membiarkan kapal dihanyutkan arus,” katanya yang pertama kali berhadapan detik cemas, termasuk angin kuat di tengah laut, setelah 14 tahun menjadi nelayan.

Seorang lagi mangsa, Hanafi Nasrizal berkata bagaimanapun mereka bernasib baik kerana mempunyai bekalan makanan yang mencukupi selama tujuh hari berada di laut.

“Sepanjang tempoh tujuh hari itu ada kapal asing yang lalu, namun mungkin mereka takut untuk mendekati dan membantu. Kami juga tidak dapat menghubungi sesiapa kerana tiada isyarat telefon di tengah laut,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X