Khamis, 13 Februari 2020 | 11:45am
ANTARA penagih yang ditahan dalam satu operasi khas, malam tadi. - Foto ihsan AADK
ANTARA penagih yang ditahan dalam satu operasi khas, malam tadi. - Foto ihsan AADK

Bersekedudukan untuk dapat bekalan dadah

ARAU: Wanita berstatus isteri orang dicekup bersama teman lelakinya atas kesalahan menghisap dadah jenis syabu di rumah lelaki berkenaan di Mata Ayer, dekat sini semalam.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Azizah Ahmad, berkata kedua-dua mereka antara 10 penagih berusia antara 18 hingga 50 tahun yang ditahan kira-kira jam 11 malam tadi dalam satu operasi khas.

Beliau berkata, wanita berusia 37 tahun itu sudah tidak tinggal bersama suaminya berikutan lelaki terbabit sedang mendapatkan rawatan pemulihan daripada pihak AADK atas masalah penagihan dadah.

“Wanita terbabit mengakui dia bersekedudukan dengan teman lelakinya yang juga seorang penagih demi mendapatkan bekalan dadah.

“Mereka mendakwa sudah saling mengenali sejak zaman persekolahan dan wanita terbabit terjebak dengan gejala dadah akibat pengaruh daripada suaminya bermula 2012.

“Bagaimanapun kesemua anak wanita terbabit yang berusia tujuh hingga 18 tahun dijaga oleh ibu mentuanya,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata dalam operasi yang sama, pihaknya turut menahan tiga beradik lelaki berusia antara 18 hingga 24 tahun dari Sungai Berembang, Kangar atas kesalahan menagih syabu.

“Dua daripada mereka pernah ditahan atas kesalahan memiliki dadah mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masing-masing pernah dipenjarakan di Pusat Koreksional Perlis selama 6 bulan dan Penjara Sungai Petani selama satu bulan.

“Hasil daripada soal siasat yang dijalankan, mereka mengaku mengambil dadah jenis syabu akibat daripada perasaan ingin mencuba dan juga pengaruh dari rakan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke pejabat AADK Perlis sejurus penahanan dan tindakan diambil mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Berita Harian X