Rabu, 12 Februari 2020 | 7:01pm
LELAKI warga Indonesia yang disyaki membunuh seorang buruh awal pagi tadi, ditahan bagi membantu siasatan kes itu. - Foto BERNAMA
LELAKI warga Indonesia yang disyaki membunuh seorang buruh awal pagi tadi, ditahan bagi membantu siasatan kes itu. - Foto BERNAMA

Lelaki parah ditetak pandu kereta dapatkan bantuan

DUNGUN: “Suami menekup bahagian luka di leher dengan tangan kirinya bagi menahan darah yang keluar dengan banyak.

“Dalam menahan kesakitan itu dia terus memandu kereta sejauh hampir dua kilometer sebelum kami dibantu seorang pengawal keselamatan,” kata Rosnah Mohamed, 34.

Rosnah menceritakan detik cemas selepas suaminya, Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, ditetak seorang rakan baik dalam kejadian di ladang sawit di Kampung Beril Paka, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi, Mohd Zukanain yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka dengan bantuan seorang pengawal yang bertugas di tapak pos pengawal projek pembinaan laluan Rel Pantai Timur (ECRL) gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 3.30 pagi.

Rosnah berkata, dia dan suaminya mengenali suspek warga Indonesia terbabit yang berusia 29 tahun itu sejak empat tahun lalu.

“Suami baik dengan suspek kerana mereka berdua bekerja sebagai buruh ladang di kawasan ladang yang bersebelahan.

“Sudah lama suami tak bawa kami anak beranak ke rumah suspek dan petang semalam kira-kira jam 5 petang kami menziarahinya,“ katanya ketika ditemui di Hospital Dungun, hari ini.

Menurutnya, ketika bertemu suspek petang semalam, suspek ada mengadu dia tinggal bersendirian dan sangat sunyi serta tidak mempunyai sahabat selain mereka anak beranak.

”Atas alasan itu, suami sepakat dengan saya untuk bawa anak tidur di rumah suspek sebelum kami balik ke rumah di Kampung Cacar Paka untuk mengambil pakaian.

“Kami pergi semula ke rumah suspek malam itu dan saya memasak nasi, menggoreng ikan dan sempat makan bersama-sama,“ katanya.

Rosnah berkata, empat anaknya berusia antara 12 hingga tujuh tahun tidur di dalam rumah suspek, manakala dia bersama suami dan anak bongsu berusia tiga bulan tidur di dalam kereta.

”Kami tidur dalam kereta kerana rumah suspek panas... kira-kira jam 11 malam saya dan suami nampak suspek keluar dengan membawa parang dan menebas semak di sekeliling kawasan rumahnya.

“Ketika sedang lena, suspek yang berparang itu datang menghampiri kami dan suspek kelihatan sangat pelik sambil memaklumkan dia boleh berkomunikasi dengan makhluk halus, tuhan dan dajal,” katanya.

Katanya, melihat keadaan itu, suami meminta dia mengejutkan kesemua anak mereka dan membawa semuanya masuk ke dalam kereta.

“Suami ada beberapa kali bertanya kepada mangsa kenapa dia berperangai sedemikian dan suspek kelihatan semakin agresif dan berulang kali memaklumkan dia boleh berkomunikasi dengan tuhan.

“Suami yang bimbang sesuatu, mengambil sebilah parang dari dalam bonet belakang dan terus menenangkan suspek sebelum suspek membuang parang di tangannya dan terus merampas parang di tangan suami lalu menetak suami saya,“ katanya.

Rosnah berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, suspek kemudiannya menetaknya sebanyak dua kali dan akibat menahan tetakan itu dia mengalami luka di kedua-dua belah tangannya.

”Suami ketika itu sudah rebah dan saya keluar mendapatkan pertolongan namun gagal memandangkan kawasan di situ gelap dan tidak berpenghuni.

“Tidak lama selepas itu, suami memecut kereta mendapatkan saya dan saya masuk ke dalam kereta sebelum kami meredah jalan kampung yang teruk itu untuk mendapat bantuan,“ katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kesemua anak-anaknya tidak dicederakan suspek.

“Beberapa hari ini perangai suami sangat pelik apabila sering membicarakan soal mati dan yang terakhir petang kejadian itu suami meminta saya berkahwin lain apabila dia meninggal.

“Saya sangka semua itu gurauan, rupanya ia adalah petanda suami benar-benar pergi meninggalkan saya dengan anak-anak,“ katanya.

Sehingga jam 5.50 petang ini, proses bedah mayat suaminya itu masih dijalankan dan sebaik selesai bedah siasat mayat suaminya itu akan dituntut untuk dikebumikan di tanah perkuburan islam Kampung Santong Paka.

Berita Harian X