Rabu, 12 Februari 2020 | 1:25pm
Suspek warga Indonesia yang dipercayai membunuh dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Kampung Beril Paka, Dungun ditahan polis. -- Foto Rosli Ilham
Suspek warga Indonesia yang dipercayai membunuh dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Kampung Beril Paka, Dungun ditahan polis. -- Foto Rosli Ilham

Warga Indonesia ditahan polis selepas lima jam bunuh rakan

DUNGUN: Suspek yang dipercayai menetak mati seorang buruh ladang dan mencederakan isteri mangsa dalam ladang kelapa sawit di Kampung Beril dekat Paka di sini, ditahan selepas kira-kira lima jam diburu polis.

Suspek berusia 29 yang turut bekerja sebagai buruh ladang di kawasan terbabit, ditahan kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata polis yang menerima maklumat kejadian itu daripada isteri mangsa kira-kira jam 4 pagi, segera melancarkan gerakan memburu suspek.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di belakang sebuah rumah kongsi kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan polis berjaya merampas sebilah parang.

“Parang sepanjang 0.4 meter itu yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa dirampas sebagai bahan bukti.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut dan ditahan lokap sementara dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman, “katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, tengahari ini.

Baharudin berkata, isteri mangsa yang turut cedera ditetak pada bahagian tangan, kini berada di Hospital Dungun untuk menjalani rawatan.

”Kita sedang menyiasat termasuk mengambil keterangan isteri mangsa bagi mengetahui bagi mengetahui punca sebenar kes terbabit, “ katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi tadi, buruh ladang, Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, mati akibat ditetak di bahagian lehernya.

Isteri mangsa, Rosnah Muhamed, 34, yang turut ditetak terselamat dengan kecederaan di tangan kanan akibat menahan tetakan parang oleh suspek.

Sebaik menetak kedua-dua mangsa, suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Joko berusia 29 itu, bertindak melarikan diri.

Berita Harian X