Jumaat, 7 Februari 2020 | 12:10pm
Habibi menunjukkan wajah suspek kes tembak tiga lelaki di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. FOTO Juwan Riduan
Habibi menunjukkan wajah suspek kes tembak tiga lelaki di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. FOTO Juwan Riduan

Kes tembak: Polis lancar operasi bersepadu buru Kacang

KOTA KINABALU: Kes lelaki melepaskan tembakan hingga menyebabkan tiga orang termasuk dua kanak-kanak cedera di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, kelmarin, dipercayai disebabkan masalah peribadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sebelum kejadian berkenaan, suspek dikenali sebagai Kacang @ Munding berusia lingkungan 30-an, mengeluarkan perkataan ugutan kepada mangsa berusia 36 tahun.

“Motif sebenar masih disiasat, namun kemungkinan besar bermotifkan peribadi di antara mangsa dengan suspek. Ini kerana sebelum kejadian itu, suspek mengugut mangsa dengan berkata ‘jika kau berani, keluar’ sebelum melepaskan tembakan.

“Ketika itu, suspek berada dalam perahu, manakala mangsa berada di atas jambatan di Kampung Lok Urai. Tembakan terus menuju ke arah mangsa dalam jarak 10 hingga 15 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Watikah Perlantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, seorang lelaki berusia 36 dan kanak-kanak lelaki 10 tahun parah, manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera ringan.

Habibi berkata, suspek dipercayai masih berada di sekitar Pulau Gaya dan kini sedang diburu polis.

“Selepas kejadian, kita lancarkan operasi bersepadu menerusi kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM).

“Insya-Allah dengan kerjasama semua elemen ini, polis akan dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mengenali atau melihat suspek supaya memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berita Harian X