Rabu, 5 Februari 2020 | 9:18pm
Kelindan lori terbabit nahas dengan bas sekolah berddekatan simpang Simunjan pagi tadi, disahkan meninggal dunia. NSTP/IHSAN BOMBA
Kelindan lori terbabit nahas dengan bas sekolah berddekatan simpang Simunjan pagi tadi, disahkan meninggal dunia. NSTP/IHSAN BOMBA

Kelindan lori terbabit nahas dengan bas sekolah meninggal

SIMUNJAN: Kelindan lori yang yang terbabit dalam nahas dengan bas sekolah di simpang Simunjan, berdekatan Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman, di sini pagi tadi, disahkan meninggal dunia.

Lelaki berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serian sekitar jam 11.22 pagi akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata seorang lagi kelindan lori terbabit yang berusia 41 tahun patah kaki kanan, manakala pemandu lori berusia 21 tahun tidak cedera.

Kejadian pada jam 5.53 pagi itu ketika lori yang membawa muatan baja kimia seberat lebih kurang 24 tan dalam perjalanan ke Pantu, Sri Aman.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan cuba memotong sebuah bas sekolah yang berhenti di tepi jalan berhampiran Kampung Jirok di sini untuk mengambil lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin.

“Pemandu lori telah memberi lampu isyarat memotong, tetapi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda cuba memotong dari belakang dengan laju dan memberi lampu tinggi.

“Pemandu lori yang terkejut cuba mengelak kiri jalan lalu melanggar belakang bas sekolah. Akibat perlanggaran itu, kelindan lori yang duduk di bahagian pintu penumpang sebelah kiri dan seorang lagi yang duduk di bahagian tengah, tersepit antara hadapan lori dan belakang bas sekolah yang remuk teruk,” katanya.

Alexson berkata, tiga murid lelaki dan lima murid perempuan berusia 13 hingga 17 tahun yang berada di dalam bas sekolah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika kejadian di laluan lurus itu, keadaan sekeliling adalah gelap kerana tiada lampu jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X