Isnin, 3 Februari 2020 | 9:43pm
Keadaan jari mangsa yang tersepit pada lubang kerusi di sekolahnya. - Foto Juwan Riduan
Keadaan jari mangsa yang tersepit pada lubang kerusi di sekolahnya. - Foto Juwan Riduan

Jari murid perempuan tersepit di lubang kerusi

KOTA KINABALU: Seorang murid perempuan Tahun Satu terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila jari telunjuk tangan kirinya tersepit pada lubang kerusi di sekolahnya di Manggatal, di sini, hari ini.

Mangsa, Nafiqa Abdullah, tujuh tahun, berusaha mengeluarkan jarinya dengan dibantu guru dan ibunya termasuk menggunakan minyak namun gagal.

Berikutan itu, pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan jari mangsa terbabit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jari seorang murid tersepit di lubang, kira-kira jam 12.50 tengah hari.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian dan didapati jari telunjuk tangan kiri murid perempuan tersepit pada lubang kerusi plastik di makmal sekolah.

“Susulan itu, pasukan bomba bertindak menggunakan gergaji besi dan playar. Ketika itu mangsa menangis kesakitan namun berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jari mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diberi rawatan awal anggota EMRS.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat tamat sepenuhnya jam 1.50 petang,” katanya.

Berita Harian X