Rabu, 29 Januari 2020 | 2:50pm
Joanna Yu mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh Najib. - Arkib NSTP
Joanna Yu mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh Najib. - Arkib NSTP

Joanna Yu mohon batalkan saman Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Perhubungan AmBank Islamic Bhd, Joanna Yu Ging Ping mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Najib Razak.

Kes saman itu adalah berhubung dakwaan melanggar kewajipan kerana mendedahkan butiran tiga akaun milik bekas perdana menteri itu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Joanna adalah saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes pecah amanah , rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya baru menerima permohonan untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan semalam.

Beliau berkata, Joanna memfailkan permohonan itu dengan alasan saman difailkan Najib menyalahgunakan proses mahkamah dan hanya untuk mengukuhkan pembelaannya dalam kes SRC International.

Katanya, Joanna melalui peguamnya memfailkan perakuan segera supaya pengurusan kes diadakan hari ini.

“Kami akan menjawab permohonan untuk membatalkan kes saman ini,” katanya.

Menurut Muhammad Farhan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 4 Februari depan bagi pengurusan kes lanjut di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris.

Dalam prosiding hari ini, Joanna diwakili peguam Jessica Ram Binwani.

Melalui saman difailkan pada 9 Disember lalu, Najib selaku plaintif menamakan AMMB Holdings Berhad, AmBank Islamic Bank Berhad dan Joanna sebagai defendan.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, Najib berkata defendan mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk menjaga dan melindungi operasi hal ehwal akaunnya.

Menurut plaintif (Najib), defendan (Ambank) melanggar kawajipan mereka dan Joanna pula cuai dalam tugasnya bagi menjaga ketiga-tiga akaun berkenaan.

Najib mendakwa, defendan mendedahkan maklumat akaunnya kepada Jho Low yang tidak diberi kuasa dan dengan sengaja membenarkan serta memudahkan urusan akaunnya dimanupulasi dengan cara menyalahi undang-undang.

Berita Harian X