Sabtu, 25 Januari 2020 | 12:57pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Penunggang motosikal, pejalan kaki maut dalam kemalangan berasingan

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 13.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) arah ke Damansara, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, penunggang, Mohd Rafae Jumuratil, 49, berasal dari Lahad Datu, Sabah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Pembonceng motosikal, seorang lelaki warga asing terselamat, bagaimanapun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Hasil siasatan awal, polis percaya motosikal terbabit hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tembok pembahagi jalan namun siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca sebenar kemalangan.

Dalam kemalangan berasingan, seorang pejalan kaki warga asing maut ketika cuba melintas di KM19.5 Lebuhraya Persekutuan arah ke ibu negara sebelum dilanggar dua kenderaan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan cuba melintas dari arah lorong paling kanan dan sebuah lori yang kebetulan berada di lorong tengah, tidak sempat membrek dan terlanggar sedikit tubuh mangsa.

Mangsa kemudian bangun dan cuba berlari ke tepi jalan namun dilanggar sebuah kenderaan lain dipercayai kereta jenis PROTON Saga.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota Bulan Sabit Merah dan mayatnya dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.

Difahamkan, pemandu PROTON Saga sehingga kini belum tampil membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang dihubungi BH, hari ini memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan dua kemalangan terbabit tampil membantu siasatan.

“Saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz ditalian 011 32311232 untuk menyalurkan maklumat.

“Kedua-dua kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X