Jumaat, 24 Januari 2020 | 5:58pm
Bung Mokhtar hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 untuk sambung bicara kes rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin.
Bung Mokhtar hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 untuk sambung bicara kes rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin.

Felcra mohon guna RM150 juta dana tabung persaraan kakitangan

KUALA LUMPUR: FELCRA Bhd (FELCRA) membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menggunakan dana daripada tabung persaraan kakitangannya berjumlah RM150 juta.

Perkara itu dimaklumkan bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof, 60, pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya Datin Seri Zizie Ezette Abd Samad di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saksi kedua pendakwaan itu, berkata permohonan itu adalah berdasarkan memo yang dikeluarkan wakil Kementerian Kewangan kepada FELCRA.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor, berhubung kegunaan wang itu, Adnan menjawab: “Wang itu adalah untuk melabur dalam Unit Amanah melalui Public Mutual.

Roslan: Kementerian Kewangan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan mengenai pelaburan, apa yang dimaksudkan dengan kuasa mutlak?

Adnan: Tiada pihak lain yang boleh mengganggu keputusan itu.

“Sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak, ia adalah hak mutlak Kementerian Kewangan.

Roslan: Ada tak Lembaga Pengarah yang terbabit dalam sebarang tindakan berkaitan pelaburan RM150 juta dengan Public Mutual,

Adnan: Tidak dinyatakan

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 29 Januari ini.

Berita Harian X