KUANTAN: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran empat unit rumah kedai yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Bukit Ubit di sini tengah malam tadi.
Identiti mangsa bagaimanapun belum dikenal pasti dan mayatnya ditemui selepas anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah unit berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 12.53 tengah malam.
“Jentera pertama sampai di lokasi pada jam 12.56 tengah malam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan. Balai bantuan adalah dari BBP Indera Mahkota, BBP Taman Tas dan BBP Gebeng,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah kedai yang diubahsuai menjadi 27 unit bilik sewa di tingkat tiga.
“Kebakaran dapat di kawal jam 2.04 pagi dan operasi tamat jam 5.13 pagi,” katanya.