Rabu, 22 Januari 2020 | 1:23pm
KETUA Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan.
KETUA Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan.

Kes buli: 11 pelajar bebas dengan jaminan polis

PADAWAN: Seramai 11 pelajar sebuah sekolah menengang berasrama penuh di sini yang disyaki membuli tiga pelajar Tingkatan 1, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata mereka dibebaskan selepas selesai dirakam percakapan di Balai Polis Kota Sentosa.

“Semua sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Ibu bapa mereka juga dipanggil semasa soal siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Aidil, semua pelajar terbabit ditangkap di sekolah berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam dan empat telefon bimbit dirampas daripada mereka.

Katanya, empat daripada mereka adalah pelajar Tingkatan 5, seorang pelajar Tingkatan 4 dan enam pelajar Tingkatan 3.

“Sepuluh daripada mereka mengaku ada memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki, kecuali seorang yang mendakwa hanya melihat kejadian itu,” katanya.

Kejadian Ahad lalu itu menyebabkan semua mangsa mengalami lebam seluruh anggota badan akibat dipukul secara bergilir-gilir selama dua jam, dari jam 1 hingga 3 pagi sebelum mereka dibenarkan pulang ke bilik.

Seorang daripada mereka kemudian mengadu kepada bapanya, yang segera melaporkan kepada polis sebelum disusuli laporan polis oleh keluarga kepada dua lagi mangsa.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan semua mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan,” katanya.

Berita Harian X