Selasa, 21 Januari 2020 | 12:54pm

10 ditahan disyaki buli pelajar sekolah sains

PADAWAN: Tiga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, di sini lebam di seluruh badan selepas dipercayai dibuli dan dibelasah sekumpulan pelajar senior sekolah berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1 pagi, Ahad lalu di asrama lelaki dengan semua mangsa dikatakan ditumbuk dan diterajang oleh ‘gangster asrama’ terbabit, yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata semua mangsa dikatakan dibelasah bertubi-tubi sehingga jam 3 pagi sebelum mereka dibenarkan tidur.

“Mangsa mengalami lebam di lengan, perut, belakang, betis dan bahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata keesokan harinya, salah seorang pelajar menghubungi bapanya bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Susulan itu, beliau berkata, bapa mangsa membuat laporan polis, yang kemudian disusuli laporan dua lagi ahli keluarga mangsa pada hari sama.

Beliau berkata, setakat semalam 10 pelajar sudah ditahan untuk disoal siasat.

Berita Harian X