Ahad, 19 Januari 2020 | 3:30pm

Mayat ketiga ditemui

DUNGUN: Satu lagi mayat ditemui menjadikan tiga daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini yang dikhuatiri lemas, ditemui setakat ini.

Mayat Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, yang berasal dari Kuantan ditemui pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Mayat Mohamad Luqman ditemui dalam jarak kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian sebelum dibawa naik ke jeti nelayan Kampung Seberang Pintasan.

“Mayat ketiga juga ditemui dalam keadaan terapung dan dibawa naik ke pangkalan itu sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun,” katanya.

Mayat pertama, Zul Fahmi Zuki, 21, yang berasal dari Kemaman ditemui terdampar di pantai Kampung Sura Tengah, Kira-kira jam 7.30 pagi, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Diikuti mayat kedua, Muhamad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dari Kuala Terengganu ditemui kira-kira jam 11.35 pagi di lokasi sama.

Sementara itu abang Mohamad Luqman, Mohamad Shafiq Mohamed Sabarudin, 29, berkata dia mengesahkan mayat itu adalah adiknya.

“Itu mayat adik saya kerana dia ada tanda lahir di bahagian pinggulnya serta seluar yang dipakainya itu adalah seluar saya,” katanya.

Katanya, jenazah adiknya itu akan dikafan dan dimandikan di Bilik Forensik Hospital Dungun sebelum dikebumikan di kampung neneknya di kampung Panchor Kuala Dong, Raub.

Mayat Muhamad Ikhwan Ahmad Azhan, dari Kuala Terengganu ditemui kira-kira jam 11.35 pagi. - NSTP/Rosli Ilham
Mayat Muhamad Ikhwan Ahmad Azhan, dari Kuala Terengganu ditemui kira-kira jam 11.35 pagi. - NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X