Selasa, 7 Januari 2020 | 2:04pm

CEO ditahan disyaki buat laporan palsu

BUKIT MERTAJAM: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas ditahan selepas disyaki membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa samun membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata lelaki itu ditahan bersama pemandunya di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Perda, Sabtu lalu.

Katanya, CEO terbabit yang berusia 26 tahun dalam laporan polis mendakwa dia bersama pemandu berusia 30 tahun keluar dari sebuah kedai emas di Bandar Perda jam 3.50 petang, Sabtu lalu, selepas selesai menjalankan urusan perniagaan.

Beliau berkata, suspek mendakwa dia membawa sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,000 sebelum disamun seorang lelaki.

“Ketika kejadian, suspek memberitahu dia berada dalam kereta manakala pemandunya turun untuk membeli air ketika mereka berhenti di sebuah stesen minyak.

“Dia mendakwa seorang lelaki secara tiba-tiba masuk melalui pintu belakang kereta dan terus mengambil beg mengandungi wang tunai dan barang kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, polis yang menjalankan siasatan selepas menerima laporan itu kemudian mendapati suspek yang juga CEO syarikat jual beli emas yang beroperasi di Batu Pahat, Johor itu sebenarnya membuat laporan palsu.

“CEO terbabit didapati berpakat bersama pemandu dan dua lagi rakan yang bertindak sebagai penasihat dan penyamun dalam kes itu kerana mahu membuat tuntutan insurans.

“Siasatan lanjut mendapati beg yang dilarikan ‘penyamun’ dan dibuang dalam longkang di kawasan berhampiran sebenarnya hanya mengandungi batu,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 23 tahun yang bertindak sebagai penasihat dan ‘penyamun’ kerana bersubahat.

Katanya, semua suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X