Ahad, 5 Januari 2020 | 2:46pm

Pura-pura baca al-Quran sebelum curi duit masjid

BALING: Polis sedang seorang lelaki yang dipercayai mencuri wang di dalam tabung Masjid Kampung Lanai di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 3.40 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an berpura-pura membaca al-Quran sambil tangannya mengumpil tabung.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan meletakkan motosikal di luar masjid sebelum masuk ke dalam bagi melakukan jenayah itu.

“Berdasarkan siasatan dan maklumat jawatankuasa masjid, selepas solat Jumaat sekitar jam 2.30 petang tabung kayu masjid berkenaan berada dalam keadaan baik dan berkunci.

“Bagaimanapun sekitar jam 9.30 malam selepas solat Isyak ahli jawatankuasa masjid ingin mengambil wang terkejut kerana terdapat kesan umpil pada tabung kayu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, anggaran kerugian belum dapat dipastikan dan polis sedang memburu suspek berdasarkan CCTV di masjid itu.

“Setakat ini belum ada tangkapan yang dilakukan. Kita harap mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini dapat menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Wajah lelaki dalam rakaman CCTV yang dipercayai mencuri duit tabung di Masjid Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling. - Foto ihsan Pembaca
Wajah lelaki dalam rakaman CCTV yang dipercayai mencuri duit tabung di Masjid Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X