Jumaat, 3 Januari 2020 | 3:10pm
BEKAS Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A.Samad ketika hadir pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A.Samad ketika hadir pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Felcra tiada kuasa dalam pelaburan saham - Saksi

KUALA LUMPUR: Felcra Berhad tidak mempunyai kuasa untuk membuat kelulusan pelaburan saham dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sekiranya ada.

Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk mana-mana kategori pelaburan saham tanpa kelulusan MKD.

Perkara itu dimaklumkan bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra , Adnan Yusof, 60, kepada Mahkamah Sesyen di sini, pada hari kedua perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata, pelaburan dibuat dihadkan kepada pelaburan berkaitan perniagaan utama iaitu perladangan dan pengilangan sahaja dan tidak membabitkan pembelian saham.

Katanya, pelaburan dalam negeri melebihi RM 125 juta perlu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan perakuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (ketika itu).

“Bagi pelaburan luar negara sama ada secara usahasama bersama pihak lain ataupun persendirian, Felcra perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

“Saya menerima salinan dokumen ini daripada Kementerian Kewangan dan dokumen itu berada dalam simpanan saya sebagai bekas Pengurus Setiausaha Syarikat.

“Saya dilantik sebagai Pengurus Setiausaha Syarikat pada 1998 hingga 2014,” katanya.

Adnan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Sementara itu dalam prosiding sama, ketika sesi soalan tambahan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry; saksi itu memberitahu terdapat perbezaan tugas bagi Pengarah Bukan Eksekutif Syarikat.

Mohamad Fadhly: Boleh terangkan perbezaan tugas bagi Pengerusi Bukan Eksekutif dengan Pengerusi Eksekutif?

Adnan: Pengerusi Bukan Eksekutif bertindak bagi mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah. Manakala, Pengerusi Eksekutif pada saya kuasanya membabitkan pentadbiran harian syarikat.

Mohamad Fadhly: Adalah Pengerusi Bukan Eksekutif mempunyai kuasa untuk mengundi?

Adnan: Ya ada.

Mohamad Fadhly: Mengapa Felcra hantar surat kepada kementerian kewangan ?

Adnan:Felcra pernah membuat permohonan untuk mendapatkan kuasa penetapan bagi had pelaburan.

Mohamad Fadhly: Apa jawapan diberikan oleh kementerian ini?

Adnan: Berdasarkan surat jawapan kementerian kewangan, Felcra hanya diberikan had pelaburan tidak melebihi RM125 juta dan perlu mendapatkan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah serta perakuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.

Dalam prosiding sama saksi pendakwaan itu turut mengesahkan perlantikan Pengerusi Bukan Eksekutif, Moktar Radin pada 17 Julai 2013.

“Tempoh perkhidmatan selama tiga tahun bermula pada 17 Julai 2013 sehingga 16 Julai 2016.

“Pengerusi Felcra Berhad adalah Pengerusi Bukan Eksekutif yang dilantik oleh MKD,” katanya.

Adnan berkata, majoriti pemegang saham Felcra Berhad adalah MKD dengan pegangan saham sebanyak 499,999,999 unit saham dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan memegang satu unit saham sahaja.

“Pengerusi Felcra Berhad dibayar elaun bulanan dan hadir mesyuarat ditetapkan MKD,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 10 Januari ini.

Berita Harian X