Jumaat, 3 Januari 2020 | 11:23am
Lelaki parah ditetak individu dipercayai pesakit mental di Taman Medan. - Ihsan PDRM
Lelaki parah ditetak individu dipercayai pesakit mental di Taman Medan. - Ihsan PDRM

Lelaki parah ditetak pesakit mental

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah ditetak individu dipercayai pesakit mental di Taman Medan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.55 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun cedera di bahagian kanan kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang sedang tidur di kedai makan di kawasan berkenaan, didatangi suspek yang bersenjatakan parang.

“Mangsa dan suspek dipercayai terlebih dulu bergaduh menyebabkan suspek yang mempunyai masalah mental menetaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, mangsa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani pembedahan akibat darah beku di bahagian kepala.

“Suspek ditahan pada hari yang sama di rumahnya di Taman Medan selepas laporan polis dibuat bapanya.

“Bapa suspek membuat laporan polis selepas anaknya memberitahu bergaduh dan menetak seorang lelaki.

“Punca pergaduhan belum diketahui dan mangsa memberitahu tidak pernah bermusuh dengan suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menghidap sakit mental dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan kes dadah dan pukul.

Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X