Selasa, 31 Disember 2019 | 9:17pm
KETUA Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) menunjukkan barang kes pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. NSTP/Khairull Azry Bidin.
KETUA Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) menunjukkan barang kes pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. NSTP/Khairull Azry Bidin.

Geng Ben tumpas

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki disyaki ahli kumpulan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan dikenali sebagai Geng Ben, melalui serbuan di tiga lokasi sekitar bandar raya ini, Ahad lalu.

Suspek membabitkan seorang warga asing berumur 34 tahun, manakala dua lagi adalah warga tempatan berusia 35 dan 36 tahun.

Mereka masing-masing ditahan di hadapan kedai serbaneka di Jalan Padang dan Taman Elok, di sini, serta di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kepayan, Jalan Kepayan-Kobusak, Penampang, pada hari sama.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dengan menyasarkan kediaman mewah dan orang kenamaan.

“Modus operandi kumpulan ini ialah mengumpil pintu rumah sebelum masuk dan sekiranya ada kunci kereta, mereka akan cuba curi serta melarikan kenderaan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kumpulan ini dipercayai kerap melakukan kegiatan jenayah pada waktu awal pagi, iaitu antara jam 1 hingga 4 pagi.

“Soal siasat masih dijalankan dan usaha mengesan barang kes akan diteruskan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Habibi berkata, dengan tertangkapnya tiga suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Kes terbaru dipercayai membabitkan kumpulan itu dilaporkan pada 15 Ogos lalu di Taman Seputih, Luyang.

Dalam kes itu, suspek pertama disyaki memecah masuk rumah terbabit melalui pintu dapur dan melarikan sebuah komputer riba, tiga iPad serta sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan dibantu suspek kedua.

Suspek ketiga pula didakwa bertindak sebagai orang tengah menyimpan barang kes di kediamannya.

Bagaimanapun, kereta mangsa berjaya ditemui semula ketika suspek pertama diberkas di Jalan Padang.

Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.

Semakan rekod jenayah pula menunjukkan suspek pertama pernah dipenjarakan atas kesalahan dadah sebelum diusir pulang ke negara asal pada 2010.

Suspek kedua memiliki rekod kesalahan berkaitan dadah serta pernah dipenjarakan beberapa kali sejak 2014 dengan yang terbaru dipenjarakan enam bulan atas kesalahan sama pada tahun ini, manakala suspek ketiga turut memiliki rekod jenayah berkaitan dadah dan menjalani hukuman penjara pada tahun lalu.

Berita Harian X