Isnin, 30 Disember 2019 | 11:13pm
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ditutup dalam insiden pertama pada 21 Disember lalu. - Foto fail
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ditutup dalam insiden pertama pada 21 Disember lalu. - Foto fail

Ops Bau: JAS sita sebuah kilang

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita sebuah kilang selepas memeriksa 106 premis kilang di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Ops Bau yang dijalankan sejak 23 Disember lalu susulan dua insiden pencemaran bau serta kualiti bekalan air terjejas, baru-baru ini.

Menurut JAS dalam satu kenyataan, hari ini, pihaknya turut mengeluarkan 36 kompaun dan 17 notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang tempoh berkenaan.

“Ops Bau sedang giat dilaksanakan dengan pemeriksaan rapi ke atas kilang bagi mengenal pasti, menjejaki dan menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan sejurus Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup dalam insiden pertama pada 21 Disember lalu.

Dalam kes kedua pada 25 Disember lalu pula, JAS menjalankan siasatan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sejurus menerima aduan berkenaan penemuan sisa buangan terjadual di tebing Singai Belihoi, Mantin, Negeri Sembilan.

Menurut JAS, tindakan awal membersihkan kawasan tebing Sungai Belihoi sudah dilaksanakan bagi mencegah risiko kepada Sungai Linggi, yang menjadi salah satu punca utama bekalan air mentah di kawasan Seremban.

“Dalam operasi pembersihan kawasan selama dua hari bermula Rabu lalu itu, dianggarkan 50 metrik tan sisa tanah tercemar dengan buangan terjadual dihantar ke Kualiti Alam Sdn Bhd untuk pelupusan,” menurut kenyataan itu.

JAS berkata, kes disiasat bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan, boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

“Pemberi maklumat akan diberi ganjaran bawah Seksyen 48B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga tertangkapnya pelaku ini, dan pemberi maklumat juga diberi perlindungan bawah Seksyen 50A akta sama,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X