Isnin, 30 Disember 2019 | 6:47pm
SEORANG peragut maut dirempuh kereta dipandu mangsa yang diragutnya di Bandar Puteri, Puchong, semalam.
SEORANG peragut maut dirempuh kereta dipandu mangsa yang diragutnya di Bandar Puteri, Puchong, semalam.

Peragut maut terperosok bawah kereta mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang peragut maut dirempuh kereta dipandu mangsa yang diragutnya di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, semalam.

Kejadian bermula pada jam 6.24 petang apabila mangsa lelaki berusia 44 tahun dikatakan hendak masuk ke dalam kereta sebelum suspek yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR merentap rantai leher emas dipakainya dari belakang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata suspek kemudian terus melarikan diri menyebabkan mangsa beredar dari tempat kejadian.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan terserempak dengan suspek di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri Puchong dalam keadaan dia menunggang motosikal secara melawan arus.

“Suspek memberhentikan motosikalnya di tengah jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek dan terus merempuh suspek.

“Suspek terjatuh dan terperosok di bawah kereta mangsa dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.52 malam.

“Rantai yang diragut ditemui bersamanya. Semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati dia mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan samun.

“Mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut secara menyeluruh kini sedang dijalankan dan ia akan dibuat secara adil dan saksama mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Berita Harian X