Ahad, 29 Disember 2019 | 2:49pm

Polis tahan 'pemancing'

PARIT BUNTAR: Tindakan dua remaja lelaki ‘memancing’ duit tabung Masjid Al Redzuan di pusat bandar di sini, mengundang padah apabila diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata suspek berusia 17 tahun diberkas ahli jawatankuasa (AJK) masjid di Taman Linear, Jalan Temenggong, di sini kira-kira jam 1.20 pagi, manakala rakannya berusia 20 tahun, ditahan polis di hadapan restoran makanan segera di sini pada jam 1.30 pagi.

Katanya, terdahulu beberapa AJK masjid memantau bermula jam 12.30 tengah malam selepas banyak kes kecurian wang tabung masjid dilaporkan di sekitar Parit Buntar.

Dua remaja 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan berjaya diberkas pihak polis. - NSTP/Ihsan Pembaca
Dua remaja 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan berjaya diberkas pihak polis. - NSTP/Ihsan Pembaca

Beliau berkata, kira-kira jam 1.10 pagi mereka menyedari terdapat dua suspek mencurigakan menggunakan laluan kawasan tanah perkuburan berhampiran sebelum memasuki pekarangan masjid berkenaan.

“Mereka melihat kedua-dua suspek menuju ke arah tabung yang berada di hadapan pintu masuk masjid sambil menjolok lidi ke dalam lubang tabung itu.

“Berikutan itu, AJK masjid segera bertindak mengepung mereka sebelum kedua-dua suspek melarikan diri ke arah pintu pagar masjid di kawasan tanah perkuburan di situ tetapi berjaya diberkas oleh AJK masjid terbabit dan pihak polis tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, soal siasat terhadap kedua-dua suspek mengaku menggunakan lidi yang disapu gam untuk ‘memancing’ duit di dalam tabung derma masjid.

“Dalam kes ini, pihak polis merampas lidi, sehelai kertas pelekat lalat, sehelai seluar denim dan wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM80.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu, turut melakukan kegiatan sama di beberapa buah masjid lain di daerah Kerian,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu mencuri dalam rumah kediaman.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua remaja lelaki berusia 17 tahun dan 20 tahun 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan, Parit Buntar. - NSTP/Ihsan Pembaca
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua remaja lelaki berusia 17 tahun dan 20 tahun 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan, Parit Buntar. - NSTP/Ihsan Pembaca
Berita Harian X