Sabtu, 28 Disember 2019 | 2:10pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, Alor Gajah. - Foto ihsan polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, Alor Gajah. - Foto ihsan polis

Kelindan lori maut dalam kemalangan

ALOR GAJAH: Seorang kelindan lori maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, di sini.

Kejadian kira- kira jam 6.45 pagi tadi itu mengakibatkan mangsa Mohamad Ridzuan Mohamad Kamar, 26, kelindan kedua lori yang membawa muatan perabot maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah treler muatan gula, lori serta sebuah kren.

Beliau berkata, sebelum kejadian semua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Negeri Sembilan.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, Alor Gajah. - Foto ihsan polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, Alor Gajah. - Foto ihsan polis

“Pemandu kren yang memandu di lorong kiri terdengar dentuman kuat dari arah belakang kenderaannya.

“Dia pada mulanya hanya menyedari treler merempuh belakang krennya sebelum mendapati terdapat sebuah lagi kenderaan di belakang treler terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit kemudian dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba.

“Mereka yang cedera iaitu pemandu treler dan lori serta kelindan lori kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah bagi mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

“Semua kenderaan yang terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X