Khamis, 26 Disember 2019 | 7:55am

Lesap RM100,000 diperdaya Macau Scam

GOMBAK: Seorang pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) kerugian RM100,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian didalangi dua individu, masing-masing menyamar sebagai pegawai pos dan pegawai polis pada 20 Disember lalu.

Mangsa berusia 64 tahun itu dihubungi seorang ‘pegawai pos’ memaklumkan terdapat satu bungkusan didaftarkan atas namanya untuk dihantar dari Kepong ke Kota Kinabalu ditahan kerana mengandungi kad pengenalan dan juga 15 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank milik orang lain.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata lelaki itu pada mulanya menafikan perkara berkenaan, namun mangsa kemudian diminta menghubungi polis.

“Mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai RF 160893 Azizul Abdul Aziz dari Bahagian Unit Tindakan Khas. Suspek yang menyamar sebagai polis itu menyatakan bertanggungjawab menyiasat kes mangsa.

“Mangsa diminta tidak menceritakan mengenai hal berkenaan kepada sesiapa untuk mengelakkan diri daripada ditangkap dan dikehendaki mematuhi Akta Rahsia Rasmi.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan butiran jenis akaun bank yang dimiliki serta jumlah wang dalam akaun tersebut. Pada 20 Disember mangsa dihubungi dan diminta mengeluarkan kesemua wang berikutan pihak Bank Negara akan membekukan akaun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Arifai berkata, mangsa kemudian menuruti arahan suspek dan mengeluarkan wang RM100,000 dari akaun Bank Islam miliknya.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk memasukkan wang itu dalam satu beg dan meninggalkannya di atas sofa buruk yang ada di tempat pembuangan sampah di luar kawasan IPT tempat mangsa bekerja.

“Mangsa juga diberitahu supaya berjalan terus selepas meletakkannya tanpa menoleh ke belakang, selepas kejadian itu, mangsa berasa pelik dan kemudian buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan kedua-dua suspek, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Asisten Superintendan Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 03-6126 2222 atau menghubungi CCID Infoline ditalian 013-2111222.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X