X
Sabtu, 21 Disember 2019 | 3:26pm
ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam Operasi Jaja di kawasan Pantai Peranginan Bukit Keluang, Kampung Raja. NSTP/Ihsan Imigresen
ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam Operasi Jaja di kawasan Pantai Peranginan Bukit Keluang, Kampung Raja. NSTP/Ihsan Imigresen

Penjaja aiskrim Kemboja 'terperangkap' taktik Jabatan Imigresen

JERTIH: Seorang penjaja aiskrim warga Kemboja ‘terperangkap’ dengan taktik penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu (Imigresen Malaysia) yang menyamar sebagai pelanggan.

Dalam Operasi Jaja kira-kira jam 5 petang semalam di Pantai Peranginan Bukit Keluang, Kampung Raja, di sini, lelaki berusia 29 tahun itu didapati tinggal lebih masa di negara ini.

Susulan penahanan lelaki itu, Imigresen Malaysia merampas sebuah motosikal Honda EX5 Dream dan sebuah tong plastik merah aiskrim milik lelaki terbabit.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Rahim Hanafi berkata, serbuan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh bersama 18 anggota yang menyasarkan lokasi peranginan itu hasil aduan awam berkaitan kebanjiran penjaja warga asing di kawasan berkenaan.

“Lelaki terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Rahim berkata, pihaknya turut memeriksa lapan penjaja warga asing di lokasi sama serta sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dalam Ops Bersepadu (Ops Jaja/ Selera).

Katanya, seramai 14 warga asing diperiksa dengan sembilan daripadanya terdiri daripada enam lelaki Kemboja, dua lelaki Thailand dan seorang lelaki India dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

“Kita turut mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada seorang majikan untuk mereka hadir ke pejabat JIM negeri bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X