Sabtu, 21 Disember 2019 | 2:51pm
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencuri duit tabung Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. NSTP/Ihsan PDRM
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencuri duit tabung Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. NSTP/Ihsan PDRM

Polis buru lelaki curi duit tabung masjid

KUALA KANGSAR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) mencuri duit tabung di Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kejadian 9.53 pagi itu hanya disedari pengurusan masjid selepas mendapati wang dalam tabung di ruangan solat wanita masjid berkenaan hilang pada 7.30 malam hari sama.

Katanya, menyedari hal itu satu laporan polis dibuat Khamis lalu dan semakan rakaman CCTV masjid berkenaan menunjukkan kelibat suspek melakukan jenayah itu selain terdapat wang yang turut hilang pada tiga lagi tabung di masjid berkenaan membabitkan kerugian RM1,000.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencuri duit tabung Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. NSTP/Ihsan PDRM
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencuri duit tabung Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. NSTP/Ihsan PDRM

“Rakaman CCTV mendapati suspek yang datang dari arah pekan Kuala Kangsar memasuki kawasan masjid menaiki motosikal berwarna biru sebelum masuk ke ruang solat utama melalui pintu yang tidak berkunci di bahagian tempat mengambil wuduk.

“Suspek mencuri wang tabung dengan cara merenggangkan kunci tabung selain menggunakan sejenis alat untuk ‘memancing’ duit dalam tiga lagi tabung lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali berkata, bagaimanapun ujian cap jari ke atas tabung derma berkenaan gagal menimbulkan kesan cap jari suspek secara sempurna.

“Kali terakhir wang tabung masjid dipungut adalah pada petang Jumaat 13 Disember lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, rakaman CCTV menunjukkan suspek memakai baju berwarna kuning dengan berseluar jeans biru tanpa penutup muka.

Razali berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek diminta berhubung dengan polis bagi membantu siasatan.

Berita Harian X